Thursday, 5 September 2013

Bina Keyakinan Diri Anak


 Teks: Engku Malina


Assalamualaikum. Setelah beberapa hari menyepikan diri akibat kesibukan menguruskan keluarga, hari ini dapat juga menggagahkan diri untuk kembali menulis. Diharap diri ini akan terus tekun menulis supaya blog ini akan menjadi satu persinggahan yang menarik bagi pembaca di luar sana. InsyaAllah.

Hari ini saya ingin mengupas sedikit tentang keyakinan diri. Apakah yang dimaksudkan dengan mempunyai keyakinan diri? Ia adalah sikap dan padangan positif tentang diri sendiri yang akhirnya membolehkan seseorang itu terus maju ke hadapan dan mencapai matlamat yang telah dikenalpasti. Kenapa penting untuk mempunyai keyakinan diri? Menurut kajian, seseorang yang berkeyakinan diri akan lebih bahagia, tenang dan sihat.

Alkisahnya, Anak perempuan saya telah memberitahu yang dia ingin membuat persembahan sempena jamuan Hari Raya Aidilfitri di sekolahnya yang telah pun diadakan pada minggu lepas. Walaupun pada mulanya saya tidak begitu bersetuju kerana bimbang dia akan terjerumus di dalam bidang nyanyian tetapi akhirnya saya bersetuju apabila melihat secara positif. Saya mula melihat ini sebagai satu peluang untuk dirinya membina keyakinan diri. Maklumlah bukannya senang untuk berdiri di atas pentas dan menyanyi di khalayak ramai.

Sebagai persediaan, anak saya tidak jemu berlatih saban hari. Di rumah dan di dalam kereta asyik menyanyikan lagu yang bakal dipersembahkan pada malam itu. Kalau nak diikutkan memang kami suami isteri sudah tidak larat lagi mendengar lagu yang sama itu dinyanyikan berulang-ulang kali. Tetapi kami sedar bahawa amat penting untuk kami terus memberikan perhatian dan sokongan kepada anak tersayang supaya dia mampu membuat persembahan yang terbaik.

Alhamdulillah. Persembahan anak (bersama dua orang rakannya) telah berjaya mendapat tempat naib juara bagi kategorinya. Ini sedikit sebanyak telah menambahkan lagi tahap keyakinan diri anak saya. Diharap dia akan terus berani untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti sekolah yang diminatinya dan tidak menjadikan ketakutan sebagai penghalang.

No comments:

Post a Comment