Thursday 29 August 2013

Apa Erti Financial Freedom

Teks: Engku Malina


Assalamualaikum. Dapat juga kembali menulis hari ini setelah seharian kesibukan semalam. Pada sebelah pagi ada temujanji dengan Konsultan Unit Amanah dan di sebelah petang pula sibuk dengan mencari pelbagai maklumat untuk disalurkan kepada suami tercinta. Apa yang pasti, semalam adalah hari yang telah memberi saya kesedaran tentang betapa pentingnya pengurusan kewangan pada hari ini untuk memastikan keselesaan pada hari tua nanti.

Pernah dengar terminologi "Financial Freedom?" Saya sendiri selalu sangat dengar orang menyebutnya tetapi tidak pernah pula nak ambil tahu secara mendalam apakah maksudnya yang sebenar-benarnya. Tetapi semalam semasa bersembang dengan Konsultan Unit Amanah saya barulah saya faham serba sedikit apa yang dimaksudkan dengan "Financial Freedom."

Maksud paling mudah difahami tentang "Financial Freedom" ialah sesuatu keadaan di mana seseorang tidak lagi perlu bekerja secara aktif untuk mendapatkan wang kerana wang yang sedia ada sudah cukup untuk menampung segala perbelanjaan. Wow! Hebat kan kalau dapat berada dalam situasi begini. Sekali imbas, rasanya jadi surirumah ni pun dah ibarat mencapai "Financial Freedom" juga. Tetapi perbelanjaan bukan keluar dari poket sendiri tetapi dari poket suami. Namun, ada juga terdetik di dalam hati apa yang akan terjadi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada yang tercinta. Nauzubillah!  

Perbualan dengan Konsultan Unit Amanah saya telah menyedarkan saya tentang pentingnya untuk  menetapkan sasaran jumlah wang yang kita rasa diperlukan setiap bulan untuk menyara kehidupan di hari tua. Dari situ kita akan tahu berapa jumlah wang yang perlu ada di dalam tabung persaraan yang dapat digunakan (dilaburkan dalam apa-apa jenis pelaburan yang memberi kadar keuntungan yang sesuai) untuk menjana pendapatan untuk menampung kehidupan di hari tua nanti. Jadi tepuk dada tanya selera. Kalau hendak wang belanja besar tiap-tiap bulan bila dah tua nanti, mestilah menabung dalam jumlah yang besar tiap-tiap bulan mulai sekarang supaya wang tersebut dapat terus berkembang dan kemudiannya menjadi satu jumlah yang dapat menjana pendapatan yang diingini tanpa kita perlu lagi risau untuk menabung pada masa itu.

Untuk para surirumah, sekarang sudah ada Private Retirement Scheme (PRS). Ianya umpama EPF tetapi yang menariknya tentang PRS, kita tidak perlu ada komitmen untuk masuk wang setiap bulan. Jadi bila-bila masa ada wang lebih yang tidak perlu untuk berbelanja, boleh masukkan dalam PRS untuk menjana pendapatan. Keuntungan dari pelaburan melalui PRS pun boleh dikatakan agak menarik berbanding jika kita biarkan sahaja wang dalam akaun simpanan. Untuk mencapai "Financial Freedom" ni tak semestinya kena jadi billionaire. Kita sendiri tentukan jumlah wang yang selesa dengan cara hidup yang kita ingini. Yang penting adalah untuk menabung dan melabur secara konsisten dan perlu kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Berbelanja untuk keperluan dan bukan mengikut kehendak. Mari sama-sama menabung demi mencapai "Financial Freedom."

No comments:

Post a Comment