Teks: Engku Malina
Seperti biasa, pagi-pagi lagi sudah sibuk menguruskan anak perempuan kesayangan untuk ke sekolah. Tiada apa yang berlainan dari hari-hari lain cuma hari ini bertolak sedikit awal dari kebiasaan kerana anak ingin bersarapan bersama teman-teman di sekolah. Tiba di sekolah, salam dan ciuman diberikan seperti selalu dan anak keluar dari kereta dengan hati gembira kerana sampai awal di perkarangan sekolah. Lega hati ini dapat menggembirakan anak tersayang di pagi hari.
Masa untuk bergegas pulang ke rumah untuk menyediakan apa-apa yang patut untuk suami tercinta pula sebelum si dia pergi ke pejabat. Sebelum itu, niat di hati untuk singgah sebentar di 7-Eleven untuk mendapatkan suratkhabar hari ini. Belum pun sempat mematikan enjin kereta, tiba-tiba terlihat beberapa keping wang kertas biru di tempat meletak minuman di bahagian penumpang hadapan. Rupa-rupanya anak tersayang tertinggal wang belanja untuk hari ini. Selalunya wang belanja akan terus disimpan di dalam poket baju tetapi entah kenapa hari ini rutinnya bertukar.
Jam menunjukkan 7.13 pagi, jadi masih sempat untuk saya berkejar semula ke sekolah untuk memberikan wang belanja kepada anak tersayang. Kesian memikirkan anak yang mungkin kesedihan kerana tidak dapat membeli sarapan untuk makan bersama teman-teman di sekolah dan juga untuk makan semasa waktu rehat. Alhamdulillah jalan tidak sesak dan pada jam 7.20 pagi sudah tiba di sekolah. Berlari saya mencari anak di kantin tapi tidak kelihatan kelibatnya. Kata hati, kalau tidak ada di kantin sudah pasti ada di tapak perhimpunan pagi. Memang betul tekaan saya, anak sedang duduk berbual dengan seorang rakan di tapak perhimpunan. Apabila mendekati anak, ada sedikit raut wajah terkejut kelihatan. Mungkin sangkaan anak, ibu tidak akan membuang masa untuk datang semula ke sekolah semata-mata untuk menghantar wang belanja. Apa lagi, saya pun terus menghulurkan wang belanja dan menyuruh anak untuk segera bersarapan sebelum loceng berbunyi. Semoga anak akan mengingati hari ini dan tidak meninggalkan wang belanja di dalam kereta lagi selepas ini.
No comments:
Post a Comment