Tuesday 27 August 2013

Pengalaman Baru Sebagai 'Home Minister'


Teks: Engku Malina

Setahun lebih telah berlalu dan masih jelas di dalam ingatan ini detik bersejarah di mana saya telah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan saya di dalam sebuah organisasi yang amat disanjung tinggi di negara ini. Mungkin ramai yang akan beranggapan bahawa keputusan yang telah dibuat itu adalah sesuatu yang amat merugikan diri ini. Ya! Amat merugikan jika kita melihat dari sudut wang ringgit. Tetapi bagi diri ini, kepuasan dan kebahagiaan yang dikecapi setelah bergelar seorang SAHM tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Sememangnya wang ringgit bukanlah segala-galanya di dunia ini. Tetapi ini tidak bermakna wang ringgit langsung tidak penting.

Sememangnya tugas sebagai seorang SAHM adalah mencabar kerana ada sahaja kerja yang perlu dan hendak dilakukan sepanjang hari. Dari mula celik mata sebelum Subuh sampailah ke malam hari sebelum melelapkan mata ada sahaja kerja-kerja di dalam rumah yang boleh dibuat. Samada hendak atau tidak sahaja. Tetapi yang bagusnya adalah kita bebas untuk memilih masa berehat pada bila-bila masa. Tidak seperti bekerja di pejabat di mana waktu rehat hanyalah dari jam 1 hingga 2 petang. Yang penting adalah pengurusan masa yang efektif supaya masa yang ada digunakan sebaik mungkin. Jika pandai membahagikan masa, banyak perkara yang dapat diselesaikan dalam satu hari. Di sinilah bergunanya kepakaran untuk 'multitasking'.


Tetapi apa yang paling saya sukai semenjak bergelar SAHM ini adalah hubungan yang lebih akrab dan mesra dengan anak-anak. Kalau semasa bekerja dahulu, hanya sempat meluangkan masa dengan anak-anak dalam 2 jam sahaja selepas pulang dari tempat kerja. Adakalanya akibat terlalu penat setelah seharian di tempat kerja sampai tidak bersemangat untuk melayan anak-anak di rumah. Anak-anak pun tak banyak bercerita tentang hal yang berlaku di sekolah dan sebagainya. Tapi sekarang, macam-macam cerita dikongsi oleh anak-anak yang membuatkan saya rasa sungguh dekat dengan mereka. Nampaknya mereka tidak segan untuk bercerita tentang apa sahaja sekarang. Inilah yang saya rasakan kepuasan menjadi seorang SAHM.
  

No comments:

Post a Comment