Teks: Engku Malina
Setahun lebih telah berlalu dan masih jelas di dalam ingatan ini detik bersejarah di mana saya telah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan saya di dalam sebuah organisasi yang amat disanjung tinggi di negara ini. Mungkin ramai yang akan beranggapan bahawa keputusan yang telah dibuat itu adalah sesuatu yang amat merugikan diri ini. Ya! Amat merugikan jika kita melihat dari sudut wang ringgit. Tetapi bagi diri ini, kepuasan dan kebahagiaan yang dikecapi setelah bergelar seorang SAHM tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Sememangnya wang ringgit bukanlah segala-galanya di dunia ini. Tetapi ini tidak bermakna wang ringgit langsung tidak penting.
Sememangnya tugas sebagai seorang SAHM adalah mencabar kerana ada sahaja kerja yang perlu dan hendak dilakukan sepanjang hari. Dari mula celik mata sebelum Subuh sampailah ke malam hari sebelum melelapkan mata ada sahaja kerja-kerja di dalam rumah yang boleh dibuat. Samada hendak atau tidak sahaja. Tetapi yang bagusnya adalah kita bebas untuk memilih masa berehat pada bila-bila masa. Tidak seperti bekerja di pejabat di mana waktu rehat hanyalah dari jam 1 hingga 2 petang. Yang penting adalah pengurusan masa yang efektif supaya masa yang ada digunakan sebaik mungkin. Jika pandai membahagikan masa, banyak perkara yang dapat diselesaikan dalam satu hari. Di sinilah bergunanya kepakaran untuk 'multitasking'.

No comments:
Post a Comment