Tuesday 27 August 2013

Pengenalan

Salam perkenalan kepada semua yang sudi bertandang ke blog ini. Diri ini selesa dengan panggilan Mel sahaja walaupun nama penuh yang diberikan adalah Engku Malina. Dilahirkan di Kuala Lumpur dan merupakan anak keempat daripada enam orang adik beradik yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan.

Saya telah mendapat pendidikan rendah dan menengah di Selangor. Setelah tamat SPM pula, saya telah melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan telah dikurniakan Ijazah Sarjana Muda. Sekembalinya ke tanah air dengan segulung ijazah, saya melangkah ke alam pekerjaan dengan berkhidmat di salah sebuah organisasi yang memang tidak asing di Malaysia. Namun setelah lebih kurang 14 tahun berkerjaya, diri ini telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari alam perkerjaan dan memberi sepenuh perhatian kepada keluarga tersayang.

Kini, saya yang merupakan seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak yang semakin membesar sedang cuba mengorak langkah untuk menjadi seorang surirumah yang masih boleh bekerja dari rumah. Memang bukan mudah untuk mengenalpasti apa aktiviti yang sesuai dengan diri ini untuk dilakukan dari rumah kerana sudah biasa dengan hidup makan gaji sebelum ini. Tetapi diri ini sentiasa berdoa kepada Yang Maha Esa untuk memberi petunjuk apa yang terbaik untuk diri ini dan keluarga. Mungkin atas berkat doa inilah saya telah dipertemukan dengan Puan Masayu Ahmad di alam maya dan kini menjadi anak didiknya. Untuk mengetahui apakah aktiviti yang bakal diceburi oleh saya, sila ikuti catatan-catatan yang akan datang.
 

No comments:

Post a Comment